Future Outlook

Landskap Budaya Melayu-Islam Dari Awal Jamiyah Hingga Wawasan Global

Di tengah derasnya arus modernisasi dan tarikan kuat globalisasi, masih ada mereka yang memilih bukan untuk hanyut, tetapi untuk berdiri dengan martabat—berakar pada identitas, namun tetap terbuka kepada dunia. Bagi DMDI dan Jamiyah Singapore, budaya Melayu bukanlah peninggalan yang disimpan di balik kaca, ataupun sekadar bisikan nostalgia dari masa lalu. Ia adalah denyut kehidupan yang hidup, sebuah kompas moral yang dibentuk oleh Islam, warisan yang memberi makna dan kebanggaan. Ia adalah bahasa budi, irama silaturrahim, disiplin ilmu, dan keanggunan adat yang tidak pernah bertentangan dengan syarak. Bersama-sama, DMDI dan Jamiyah Singapore menapaki jalan ini bukan sekadar sebagai pengamat perubahan, tetapi sebagai penjaga kesinambungan—memastikan bahwa kemajuan tidak menuntut pengorbanan jiwa. Melalui pendidikan, pelestarian budaya, pembangunan sosial, dan pengayaan spiritual, mereka membangun jembatan antara generasi sekaligus memperkuat ketahanan intelektual dan budaya masyarakat Melayu-Muslim. Misi mereka jelas: memberdayakan bangsa Melayu agar berdiri sebagai komunitas global—berdaya saing dalam ilmu pengetahuan, kuat dalam nilai, modern dalam pemikiran, namun tetap setia pada akar budaya dan identitas spiritualnya. Dalam sebuah perbincangan yang hangat dan penuh wawasan di kantor pusat Jamiyah Singapore, Presiden Prof. Dr. Datuk Mohd Hasbi Abubakar menyambut DMDI Magazine untuk merefleksikan perjalanan bersama ini—sebuah perjalanan yang dimulai puluhan tahun lalu dan terus berlanjut dengan tujuan yang diperbarui hari ini. Dengan kejernihan pemikiran dan kebijaksanaan pengalaman, beliau berbicara bukan hanya tentang sejarah, tetapi juga tentang harapan; bukan hanya tentang pelestarian, tetapi juga tentang kemajuan.

JAMIYAH SINGAPORE

PROF DATUK DR MOHD HASBI ABU BAKAR

PRESIDEN JAMIYAH

LANDSKAP BUDAYA MELAYU-ISLAM

DARI AWAL JAMIYAH

HINGGA WAWASAN GLOBAL

Di tengah derasnya arus modenisasi dan globalisasi, DMDI bersama Jamiyah Singapura melihat kebudayaan Melayu bukan sekadar warisan silam, tetapi nadi identiti yang hidup dan mesti dipertahankan. Budaya ini hadir sebagai payung yang merangkul, mengakar pada nilai Islam yang luhur, dan tetap relevan dalam lanskap moden. Melalui pendidikan, seni, ekonomi kreatif, dan program spiritual, usaha-usaha bersama ini bukan sahaja memelihara warisan, tetapi juga memperkukuh jati diri, membina perpaduan, serta membuka ruang untuk masyarakat Melayu-Islam tampil sebagai komuniti global yang dinamik, berdaya saing, namun tidak pernah tercerabut daripada akar budaya dan nilai luhur agamanya.

Demikian disampaikan Presiden Jamiyah Singapura, Prof. Dr Datuk Mohd Hasbi Abubakar, telah menerima kunjungan DMDI Magazine di pejabat Jamiyah Singapura dalam suasana yang hangat, sambil mengenang kembali detik-detik awal penubuhan Jamiyah dan saat Datuk Hasbi memimpin organisasi tersebut. Dengan tutur kata yang tersusun rapi serta kenangan yang masih lekat dalam ingatan, beliau berkongsi pandangan dan pengalaman berharga. Berikut adalah petikan wawancara yang dibahagikan oleh redaksi DMDI Magazine kepada dua bahagian tulisan.

Bagaimana DMDI dan Jamiyah Singapura melihat kedudukan kebudayaan Melayu dalam arus modenisasi dan globalisasi pada masa ini, khususnya di Singapura dan negeri-negeri Semenanjung?

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Said Aldi Al Idrus, Ketua Umum DMDI Indonesia yang telah memberi saya kesempatan bagi wawancara ini. Konvensyen DMDI yang ke-23 akan di hos oleh DMDI Indonesia pada 23-26 Oktober 2025. Tahniah saya ucapkan kepada DMDI Indonesia, terutamanya Datuk Said Aldi Alidros.

Kebudayaan Melayu adalah nadi kepada jati diri kita. Di Singapura, kami melihat budaya Melayu bukan sebagai tinggalan sejarah, tetapi sebagai sumber nilai dan identiti yang harus terus dipertahankan. Melalui kolaborasi    strategik antara DMDI dan Jamiyah Singapura, kami berusaha menjadikan warisan ini relevan. Contohnya, dengan mempromosikan seni dan tarian Melayu melalui penganjuran dan penyertaan dalam bengkel kolaboratif serantau, serta pelbagai acara dan festival kebudayaan.

Pada pandangan Datuk, apakah cabaran terbesar yang dihadapi kebudayaan Melayu dalam mengekalkan identitinya di tengah-tengah masyarakat majmuk seperti Singapura?

Cabaran utama ialah asimilasi budaya global yang sangat pesat, terutamanya pengaruh budaya Barat melalui bahasa, media dan teknologi. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa komunikasi perantaraan dalam interaksi antarabudaya dan antarabangsa. Namun, penggunaan bahasa ini tidak seharusnya mengakibatkan pengabaian atau penenggelaman nilai-nilai bahasa dan budaya ibunda yang amat berharga. DMDI dan Jamiyah Singapura memandang perkara ini sebagai satu panggilan penting untuk mempergiat usaha dalam pendidikan budaya Melayu serta memupuk jati diri di kalangan generasi muda Melayu melalui pelbagai inisiatif budaya yang dirancang dengan teliti dan bertujuan khusus.

Sejauh mana peranan Islam dalam memperkukuh dan memperkayakan ekspresi kebudayaan Melayu di era sekarang?

Islam adalah tunjang dalam budaya Melayu. Budaya kita tidak lengkap tanpa nilai Islam yang mencorakkan tutur kata, adat, dan cara hidup. Di DMDI dan Jamiyah Singapura, kita menekankan nilai-nilai syarak yang menyatu dengan tradisi, menjadikan budaya Melayu bukan hanya unik, tetapi juga sarat dengan hikmah dan adab yang luhur.

Bagaimana DMDI dan Jamiyah Singapura melihat peluang kebudayaan Melayu untuk terus relevan dan memberi sumbangan dalam lanskap sosial, ekonomi, dan spiritual masyarakat?

Peluang yang tersedia amat luas, khususnya dalam bidang seni, ekonomi kreatif, serta pendekatan spiritual yang inklusif. Program-program yang dilaksanakan bukan sekadar bertujuan memelihara dan melestarikan budaya serta warisan Melayu-Islam, tetapi turut berperanan memperkukuh perpaduan sosial dan membina jati diri dalam menghadapi cabaran era moden.

Antara inisiatif yang dijalankan termasuklah penganjuran acara pertunjukan budaya seperti tarian tradisional dan irama Melayu, yang meraikan keindahan seni warisan bangsa.

Dalam dimensi sosio-agama pula, DMDI dan Jamiyah Singapura menganjurkan pelbagai program seperti tilawah al-Quran, sambutan Maulid Nabi, kegiatan dakwah serantau, serta misi kemanusiaan. Kesemua usaha ini saling melengkapi dan menakrifkan komitmen bersama dalam memperkukuh persaudaraan ummah di bawah naungan Dunia Melayu Dunia Islam.

Adakah terdapat strategi atau program khusus yang dilaksanakan oleh DMDI dan Jamiyah Singapura untuk memastikan warisan kebudayaan Melayu terus hidup, sama ada melalui pendidikan, seni, mahupun kegiatan sosial?

Jamiyah Singapura telah menubuhkan DayaSeni, sebuah wadah baharu yang bertujuan memperkasa seni, budaya, dan persuratan serta intelektualisme Melayu ke tahap lebih tinggi. Melalui Kerjasama dengan DMDI, kami menjadikan seni dan persuratan Melayu sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan modal insan (human capital), bukan hanya di Singapura, tetapi juga serantau.

Pada pandangan Datuk, bagaimana wajah kebudayaan Melayu akan berkembang dalam 20–30 tahun mendatang, di tengah-tengah derasnya perubahan teknologi dan budaya global?

Kebudayaan Melayu akan terus berevolusi seiring dengan arus kemajuan global. Kami yakin bahawa dengan gabungan kekuatan dalam bidang ekonomi halal, perbankan Islam, serta kemajuan dalam pendidikan dan kerjaya profesional, masyarakat Melayu akan muncul sebagai komuniti global moden yang tetap akrab dengan nilai budaya dan prinsip keislaman.

Di Singapura khususnya, peningkatan ketara dalam bilangan profesional dan graduan Melayu menunjukkan daya saing yang semakin kukuh dalam ekonomi moden.

Kesannya, masyarakat Melayu/ Islam bukan sahaja berdaya saing dan dinamik di persada antarabangsa, malah mampu mengekalkan jati diri dan nilai-nilai teras budaya serta agama dalam menghadapi cabaran dunia global.

Bagaimana kerjasama antara Singapura dan negeri-negeri Semenanjung dapat memperkukuh jaringan kebudayaan Melayu agar terus menjadi tiang identiti bersama Dunia Melayu Dunia Islam?

Kita perlu menyemai semangat rumpun yang satu, yang melangkaui sempadan politik dan geografi. Kerjasama dalam bentuk festival serantau, program pertukaran budaya dan pendidikan, serta jaringan pertubuhan Melayu-Islam di negeri-negeri semenanjung akan memastikan budaya ini terus hidup, berkembang dan dihormati sebagai teras tamadun.

Alhamdulillah, hari ini, Presiden DMDI, TYT Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam telah berjaya menubuhkan 23 Sekretariat di 23 buah negara. Jalur rangkaian 23 Sekretariat ini memperkukuhkan lagi kebudayaan Melayu.

AGENDA STRATEGIS DMDI

Pada pandangan Datuk, apakah agenda strategis yang paling mendesak untuk DMDI agar mampu muncul sebagai organisasi yang disegani di rantau Asia?

Pada pandangan saya, agenda strategis paling mendesak untuk DMDI ialah pembangunan modal insan. Kita perlu memperkasa generasi muda melalui pendidikan, latihan teknikal, keusahawanan mikro, dan jaringan biasiswa. Dalam masa yang sama, DMDI harus memainkan peranan aktif membantu komuniti Melayu-Islam yang masih memerlukan di rantau ini, melalui program pendidikan, kesihatan, dan pembangunan komuniti. Pendekatan ini bukan sahaja melestarikan budaya, tetapi juga membina kekuatan sosio-ekonomi serantau secara inklusif dan berkesan.

Bagaimana DMDI boleh memposisikan dirinya bukan sahaja sebagai wadah kebudayaan, tetapi juga sebagai kekuatan sosial, ekonomi dan intelektual yang berpengaruh di peringkat serantau?

DMDI harus bergerak sebagai organisasi multidimensi, dari budaya ke ekonomi, dari wacana ke aksi. Dengan menggabungkan festival budaya, forum intelektual, dan inisiatif kemanusiaan, kita membina pengaruh yang menyeluruh, yang diakui bukan hanya sebagai pemelihara warisan, tetapi juga pemacu kemajuan.

Landasan bagi DMDI untuk terus melangkah ke hadapan sememangnya telah di sediakan oleh Presiden DMDI TYT Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam. Semasa DMDI di tubuhkan, 25 tahun lalu, TYT Tun, Pemimpin yang punyai visi yang jauh, telah menubuhkan Biro-Biro DMDI seperti Pendidikan, Ekonomi, Dakwah, Sosio-Budaya, dan lain-lain lagi.

Perlukah DMDI membangunkan pusat penyelidikan, think-tank, atau platform digital untuk memperkukuh jaringan intelektual dan dasar di rantau Asia?

Sudah tiba masanya DMDI memiliki pusat pemikir (think tank) sendiri, seumpama Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, wacana dan dialog antarabangsa.

Dengan sokongan pakar, akademia dan dana mampan, pusat ini boleh menjadi mercu tanda pemikiran Melayu-Islam, menghasilkan kajian dasar, membina jaringan sarjana, dan menjadi pusat rujukan global dalam budaya dan pemikiran Melayu-Islam.

Pada pandangan Datuk, nilai-nilai apakah yang harus tetap menjadi landasan DMDI agar pengaruhnya semakin meluas tanpa mengorbankan identiti Melayu-Islam?

Tiga nilai teras yang menjadi landasan utama ialah: Pertama, Kebertanggungjawaban, menjalankan amanah dengan penuh integriti dan ketelusan, memastikan setiap tindakan berpaksikan etika, kejujuran dan keadilan. Kedua, Berwawasan dalam membentuk strategi dan perancangan jangka panjang yang bijaksana, berpandukan nilai budaya dan cabaran semasa, demi kemajuan berterusan masyarakat Melayu/Islam. Ketiga, Sedia berkhidmat kepada masyarakat dengan dedikasi tinggi, niat yang ikhlas dan usaha berterusan, agar setiap inisiatif memberi impak sebenar kepada umat dan generasi akan datang.

JAMIYAH:

API YANG

TAK PERNAH

PADAM

Darah Muda di Jamiyah

Pada usia sepuluh tahun, Datuk Hasbi mengenal Jamiyah bukan sebagai sebuah institusi yang jauh, tetapi sebagai sebahagian daripada keluarganya sendiri. Ayah beliau, bersama rakan-rakan seperjuangan, pada awal tahun 1950-an mengambil alih kepimpinan Jamiyah. Pada ketika itu, mereka semuanya dalam lingkungan usia awal 40-an—masih dianggap “darah muda” jika dibandingkan dengan para pemimpin badan Islam lain yang umumnya sudah berusia lanjut.

Menurut beliau, sebelum ayahnya dilantik sebagai Presiden Jamiyah, kehidupan keluarga dipenuhi keceriaan: berkelah di tepi laut hampir setiap minggu, bercuti ke Malaysia, dan pelbagai aktiviti santai yang merapatkan hubungan. Namun sebaik sahaja ayahnya dipilih memimpin Jamiyah, semua itu terhenti. Tanggungjawab baharu menuntut pengorbanan. Meski begitu, ayahnya tidak pernah mahu meninggalkan keluarga di belakang. “Beliau mahu kami ikut serta, menyumbang tenaga, dan bersama-sama berjuang dalam kerja-kerja Jamiyah,” kata Datuk Hasbi.

Saat Haji Abu Bakar Maidin— ayah beliau—mengambil alih, Jamiyah bukanlah sebuah institusi yang kukuh. Wang yang tinggal hanya SDG 5.65. Bangunan pun belum ada, kecuali dua tingkat yang diwakafkan oleh Raja Faisal dari Arab Saudi. “Dari situlah saya mula mengenal erti perjuangan: sebuah organisasi Islam yang hampir kosong sumbernya, namun penuh dengan semangat orang-orang yang percaya,” ujar Datuk Hasbi.

Pada waktu itu, walaupun masih bersekolah, hampir setiap minggu Datuk Hasbi berada di Jamiyah. Mereka sekeluarga turut membantu mencari dana, mengutip derma, menyusun acara—apa sahaja yang boleh dilakukan. Aktiviti-aktiviti itu bukan sekadar kerja sukarela, tetapi latihan hidup yang menanamkan nilai pengorbanan sejak kecil.

Sebenarnya beliau boleh sahaja tidak terlibat. “Saya boleh berkata bahawa itu urusan ayah semata-mata. Namun kerana sudah terbiasa melangkah bersama keluarga, saya terbawa arus pengabdian itu. Sejak awal, kami tidak pernah memisahkan kehidupan rumah dengan kehidupan di Jamiyah—semuanya mengalir dalam satu ikatan,” katanya. Pengalaman itulah yang membentuk diri beliau: melihat bagaimana ayah dan rakan seperjuangan, meskipun terbatas dari segi kewangan, mampu menggerakkan sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri. “Darah muda” bukan sekadar gelaran, tetapi keberanian memikul amanah ketika yang lain memilih membisu.

Pengabdian Keluarga di Tengah Ujian Zaman

Keluarga mereka sejak awal sangat erat. Apa jua cabaran yang dihadapi ayahnya dalam memimpin Jamiyah, keluarga tidak pernah disisihkan. “Beliau tahu tugasnya amat berat, tetapi tetap mahu kami berada di sampingnya. Maka masa berkualiti keluarga bukan lagi di tepi laut atau taman, melainkan di ruang-ruang Jamiyah—di meja kerja, di majlis pengumpulan dana. Begitulah cara beliau menyatukan pengabdian dan kebersamaan,” kata Datuk Hasbi.

Ayahnya meyakini, apabila kerja Jamiyah menuntut pengorbanan, maka biarlah pengorbanan itu dikongsi bersama. Mereka hadir bukan sekadar penonton, tetapi menjadi tenaga sukarela—mengutip derma, menyusun program, menemani mesyuarat yang panjang. “Cara ini membuatkan kami sedar, Jamiyah bukan sekadar organisasi, tetapi rumah kedua yang membentuk jiwa kami,” ujarnya.

Yang paling mengharukan bagi Datuk Hasbi ialah menyaksikan bagaimana ayahnya tetap mampu mendekatkan keluarga, meskipun tenggelam dalam tanggungjawab besar. Riadah hujung minggu berganti menjadi “riadah hati”: bersama-sama membina sesuatu untuk umat. Kenangan itulah yang kekal terpatri—bahawa keluarga mereka pernah menjadi saksi dan pelaku dalam sejarah besar Jamiyah.

Tahun 1970 menjadi ujian paling getir. Singapura dan Malaysia baru sahaja berpisah, serta-merta komuniti Melayu-Muslim di Singapura menjadi minoriti. Perasaan kehilangan itu nyata: sokongan yang dahulu ada tiba-tiba terputus. “Seperti pohon yang akarnya digergaji, masyarakat kami dipaksa berdiri di tanah yang baharu,” kata Datuk Hasbi.

Kerajaan menuntut agar Singapura membangunkan dirinya sendiri— dan itu wajar. Namun bagi minoriti, cabarannya berlapis. Pendidikan, ekonomi, budaya, hingga agama— semuanya memerlukan penggerak dari dalam, kerana sokongan luar tidak lagi ada. Di sinilah Jamiyah menjadi medan bakti, menjadi penghubung bagi menutup jurang yang terbuka selepas perpisahan.

Datuk Hasbi masih mengingati suasana masa itu. Malam-malam di pusat bandar Singapura, dengan pusat beli-belah kecil dan kedai sederhana, terasa suram. Banyak keluarga Melayu hidup dalam kesempitan, mencari ruang untuk bertahan. Sebagai minoriti, mereka harus berjuang lebih keras— bukan sahaja untuk menyara diri, tetapi juga memastikan identiti dan maruah bangsa tidak hanyut ditelan arus moden.

Maka tugas di Jamiyah bukan kecil. Mereka menyediakan ruang pendidikan, membantu keluarga miskin, memelihara kelangsungan budaya dan agama. Setiap sen yang dikumpulkan, setiap jam tenaga yang dicurahkan—semuanya untuk menyambung nadi masyarakat yang hampir terputus. Mereka juga maklum, setiap kaum di Singapura sedang berjuang dengan cabaran masing-masing. Namun sebagai minoriti, usaha perlu digandakan untuk diakui, berdiri sejajar, dan tidak terhapus dari peta bangsa. Jamiyah menjadi wadah untuk menyalurkan dedikasi itu.

Ayahnya sering berpesan, perjuangan ini bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk anak cucu esok. Jika jurang dibiarkan melebar, generasi akan datang mungkin kehilangan jejak. Maka setiap program Jamiyah bukan sekadar aktiviti sosial, tetapi tanda tangan sejarah—pasti dan berbekas— yang memastikan Jamiyah terus wujud, berdaya, dan dihormati.

Hari ini, tatkala Datuk Hasbi mengenang masa-masa itu, rasa haru masih kuat. Jamiyah bukan hanya institusi; ia adalah kisah keluarga, kisah masyarakat, kisah sebuah bangsa kecil yang berjuang dalam negara muda. Dari hanya RM5.65 di tangan, hingga menjadi penggerak umat—itulah bukti bahawa pengorbanan, walau bermula dari sebuah keluarga kecil, dapat menyala menjadi obor komuniti.

Jamiyah: Dari Dapur Keluarga ke Pusat Pengabdian Umat

Kenangan paling jelas sejak kecil: ketika usianya baru sepuluh tahun, Jamiyah—tempat ayahnya baru dilantik sebagai presiden— hanya mempunyai RM5.65 dalam simpanan. Tiada bilik mesyuarat, tiada kemudahan. Lalu ayah berkata, “Kita buat sahaja di rumah.” Dan benar, di situlah segalanya bermula.

Ibu Datuk Hasbi menyiapkan hidangan seadanya. Beliau membantu menghidang, membawa ke ruang tamu untuk sekitar lima belas hingga dua puluh orang ahli jawatankuasa. Meskipun masih kecil, beliau berasa seperti sebahagian daripada sejarah— duduk di sisi orang dewasa, memerhati wajah-wajah serius berbincang tentang masa depan sebuah organisasi yang hampir kosong.

Pesan pertama ayahnya kepada jawatankuasa masih segar di ingatan: “Jangan kita bermimpi buat apa-apa program jika tiada kewangan. Tugas pertama kita ialah menjana dana. Cari dana, barulah kita bergerak.” Kata-kata sederhana itu menancap kukuh. Dari situ Datuk Hasbi belajar— idealisme memerlukan bekal nyata.

Ketika itu, Singapura masih banyak kampung. Masyarakat Melayu-Islam tinggal berselerak di perkampungan kecil, saling mengenali. Hampir setiap minggu, mereka berjalan dari rumah ke rumah, mengetuk pintu, memperkenalkan Jamiyah, dan mengumpul derma. Ada yang memberi sedikit, ada yang lebih; yang paling berharga ialah sokongan ikhlas.

Kerana dukungan itulah Jamiyah segera membesar. Bangunan demi bangunan muncul, program demi program berjalan. Semuanya bukan kerana kekuatan segelintir orang, tetapi kerana masyarakat percaya Jamiyah adalah milik mereka. Ayahnya selalu menegaskan, “Kalau mahu membangunkan organisasi, jangan berbicara jika tiada duit. Dana ialah darah perjuangan.”

Selama empat puluh tahun, ayahnya memimpin Jamiyah. Beliau menyerahkan seluruh tenaga, masa, bahkan kehidupan keluarganya, untuk memastikan organisasi ini bertahan. Hasilnya terlihat jelas hari ini: Jamiyah menjadi institusi besar, disegani, dan berperanan penting dalam pembangunan masyarakat Islam di Singapura dan dunia.

Namun setiap zaman punya cabaran. Keperluan generasi lama berbeza daripada generasi muda hari ini. Jika dahulu fokusnya pada pendidikan, masjid, dan kebajikan; kini medan lebih luas—pembangunan ekonomi, pembinaan identiti, serta ruang kepimpinan belia. Tugas mereka bukan sekadar menjaga warisan, tetapi menyesuaikannya dengan zaman.

Sejak Datuk Hasbi mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2012, tekadnya jelas: memastikan kesinambungan. Beliau tidak mahu Jamiyah berhenti di tangan generasi lama. Harus ada lapisan baharu— pemimpin muda yang dilatih sejak awal, diberi ruang memimpin—agar Jamiyah bukan sekadar bertahan, tetapi terus tumbuh.

Alhamdulillah, hari ini barisan Jamiyah sudah dipenuhi ramai orang muda. Mereka belajar daripada pengalaman, diberi peluang, dan Datuk Hasbi yakin suatu hari nanti mereka akan memimpin lebih baik daripada generasinya. Itulah hakikat kepimpinan: bukan mengekalkan diri, tetapi menyiapkan pengganti.

Apabila beliau mengenang kembali masa kecil—membantu ibu menyediakan makanan untuk mesyuarat Jamiyah di rumah dengan dana cuma RM5.65—lalu membandingkannya dengan keadaan kini, “hati saya terharu. Dari sebuah meja makan sederhana, Jamiyah kini berdiri megah sebagai pusat pengabdian umat. Tugas saya dan kami semua hanya satu: memastikan obor ini tidak pernah padam, tetapi terus menyala untuk generasi akan datang,” katanya.

Jamiyah: Warisan Ulama, Wadah Umat

Jamiyah bukan sekadar institusi; ia adalah warisan seorang ulama besar dunia, Maulana Abdul Aleem Siddique dari Meerut, India. Pada tahun 1932, beliau menubuhkan Jamiyah di Singapura sebagai sebahagian daripada dakwah globalnya. Empat puluh tahun terakhir hayatnya didedikasikan untuk mengelilingi dunia, dan di setiap negara yang disinggahi, beliau mendirikan persatuan Islam sebagai tapak perjuangan.

Dari tangan seorang ulama pengembara lahirlah jaringan organisasi Islam yang melintasi sempadan bangsa dan negara. Singapura menjadi salah satu simpul penting. Setiap majlis yang beliau adakan menghimpunkan ulama dan pemimpin setempat, menjadikan Jamiyah sejak awal bukan sekadar wadah tempatan, tetapi pusat persahabatan dan ukhuwah antarabangsa.

Warisan itu hidup hingga kini. Visi dan misi sang pendiri tidak pernah padam, malah diteruskan generasi demi generasi. Dari sebuah ruang sederhana dengan dana hanya RM5.65, Jamiyah kini hampir mencecah usia seabad. Nadi yang sama—dakwah, pendidikan, kebajikan—terus berdegup.

Keistimewaan Jamiyah bukan sekadar panjang usianya, tetapi keterbukaannya. Sejak dahulu, Jamiyah dikenali sebagai organisasi yang bersahabat dengan semua golongan—Islam mahupun bukan Islam. Program-programnya terbuka kepada masyarakat umum, tanpa mengira bangsa atau agama.

Kerana itu, sokongan hadir daripada pelbagai kaum. Melayu, Cina, India—semuanya berasa memiliki ruang di Jamiyah. Dari projek pendidikan hingga penjagaan warga emas, layanan diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Nilai Islam dipamerkan bukan melalui kata-kata, tetapi khidmat yang nyata.

Di sebuah pusat penjagaan misalnya, dapat dilihat dengan jelas: warga Melayu duduk berdampingan dengan warga Cina; seorang India dirawat penuh kasih oleh staf Muslim. Semua dilayan sama rata. Di situlah terpantul keindahan Islam rahmatan lil ‘alamin—agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

Tujuan Jamiyah bukan semata-mata untuk mengislamkan orang lain, tetapi membuka hati mereka—agar melihat dan merasakan bahawa Muslim di Singapura adalah masyarakat yang damai, penyayang, dan boleh dipercayai. Jika suatu hari hati mereka terbuka untuk Islam, itulah hidayah. Jika yang hadir hanya rasa aman dan selesa bersama orang Islam, itu pun sebuah kemenangan.

Beginilah Jamiyah menjalankan dakwah yang halus tetapi mendalam: melalui layanan, keikhlasan memberi, dan ketulusan membantu. Itulah warisan sejak 1932—warisan seorang ulama pengembara yang percaya bahawa Islam harus dipraktikkan, bukan sekadar diperkatakan.

Kini, ketika usia Jamiyah hampir menyentuh seratus tahun, rasa syukur bercampur haru. Hampir satu abad ia bertahan, tumbuh, dan melayani. Dari generasi ke generasi, Jamiyah menjadi saksi transformasi masyarakat Islam di Singapura: dari kehidupan kampung hingga menjadi minoriti di negara kota moden.

Jamiyah membuktikan bahawa sebuah organisasi mampu bertahan bukan kerana harta atau kuasa, tetapi kerana semangat yang diwariskan. Semangat itulah yang terus kami jaga—semangat persaudaraan, keterbukaan, dan pengabdian. Insya- Allah, memasuki abad kedua, Jamiyah akan kekal menjadi rumah besar umat—tempat nilai Islam dipraktikkan dengan kasih dan ditunjukkan kepada seluruh bangsa.